Program komuniti hijau rakan lestari bagi tahun 2025
2026-05-25
PROGRAM KOMUNITI HIJAU “RAKAN LESTARI” MERIAHKAN PANTAI SIMPANG MENGAYAU
KUDAT, 23 Mei — Program Komuniti Hijau “Rakan Lestari” anjuran Lembaga Bandaran Kudat berjaya menghimpunkan masyarakat setempat dalam usaha memupuk kesedaran menjaga kebersihan dan kelestarian alam sekitar di Pantai Simpang Mengayau, Kudat.
Program yang berlangsung seawal jam 7.30 pagi itu turut mendapat kerjasama pelbagai agensi serta komuniti setempat. Pelbagai aktiviti menarik diadakan antaranya gotong-royong pengindahan kawasan, pertandingan mewarna, bola tampar pantai, program timbang sampah kitar semula serta aktiviti penanaman pokok.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Pembantu Menteri Kewangan Negeri Sabah, YB Datuk Chong Chen Bin @ Ben Chong yang bersama-sama turun padang menyertai aktiviti pembersihan kawasan pantai sebagai tanda sokongan terhadap usaha menjaga alam sekitar.
Selain memupuk semangat cintakan alam, program ini juga bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga kebersihan kawasan awam dan mencegah pembiakan nyamuk aedes melalui persekitaran yang bersih dan sihat.
Turut diadakan ialah “Pasar Percuma” yang memberi peluang kepada orang ramai berkongsi dan mengambil barangan terpakai yang masih elok digunakan sebagai langkah menggalakkan amalan kitar semula dan mengurangkan pembaziran.
Penganjuran program seperti ini diharap dapat mengeratkan hubungan komuniti serta menjadikan Pantai Simpang Mengayau terus bersih, indah dan selamat untuk dinikmati generasi akan datang.
2025-07-22


